Ringankan Beban Pesakit Dan Penjaga

RUTIN ke hospital antara komitmen perlu dipatuhi bagi kebanyakan kes membabitkan pesakit yang perlu menjalani rawatan. Namun ada kalanya keadaan pesakit tidak mengizinkan untuk menempuh perjalanan dan bergerak selain mendatangkan kemudaratan.
Ini menjadi dilema bagi pesakit mahupun penjaga atau ahli keluarga untuk membawa pesakit ke hospital kerana bimbang keadaan pesakit tidak mengizinkan untuk mereka menempuh perjalanan walaupun dalam tempoh singkat.
Penjagaan atau proses pemulihan pesakit yang sudah terlantar lama seperti sakit tua, pesakit strok dan juga yang mengalami kemalangan selain rawatan selepas bersalin biasa sudah beralih di rumah.
Jadi, proses penyembuhan dan penjagaan mula beralih kepada ahli keluarga di rumah dan tempoh peralihan ini penting terutama dalam kes kritikal atau penjagaan paliatif iaitu pesakit terlantar.
Tidak semua ahli keluarga mampu dan ada kapasiti untuk jaga ahli keluarga yang sakit, jadi pesakit sangat memerlukan perkhidmatan rawatan sokongan terutama warga emas atau pesakit angin ahmar banyak bergantung kepada penjaganya.
Dalam situasi ini, doktor atau jururawat yang berada di rumah pesakit boleh melihat sendiri persekitaran rumah mereka dan membantu ahli keluarga mengendalikan pesakit lebih baik.
Menjaga orang sakit bukan sahaja mendedahkan mereka kepada keletihan fizikal kerana perlu mengurus seperti membersihkan dan melakukan rutin mengganti tiub atau pek najis.
Mental dan emosi juga antara perkara terkesan dalam proses menjaga pesakit. Setidak-tidaknya kehadiran doktor dan jururawat ke rumah membantu mencegah penjaga daripada mengalami ‘burn out.






