Pemakanan Melalui Tiub Bagi Pesakit Strok

Pesakit yang tidak boleh makan dan minum secara oral dengan mencukupi serta berisiko tinggi untuk aspirasi dan tersedak perlu menggunakan tiub pemakanan sehingga berkeupayaan untuk menelan secara normal.

Laluan dan kaedah pemakanan melalui tiub biasanya akan ditetapkan oleh pihak hospital atau klinik. Namun, ahli keluarga perlu memilih produk yang sesuai untuk digunakan semasa di rumah.

Formula enteral polimerik dengan kandungan nutrient yang seimbang adalah sesuai untuk pesakit strok dengan fungsi gastrousus yang baik. Produk polimerik biasanya mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang perlu dihadam.

Kini terdapat pelbagai formula polimerik di pasaran yang boleh dibeli di farmasi, kedai ubat dan pasar raya. Terdapat juga produk polimerik yang tinggi serat, tinggi protein dan tinggi tenaga yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit.

Produk enteral yang dirumus khas untuk keadaan penyakit-penyakit tertentu juga boleh digunakan. Rumusan susu lain seperti susu rendah lemak, susu tanpa lemak atau susu penuh krim juga boleh digunakan bersama-sama dengan campuran bijirin halus.

Kebiasaannya, 1200 – 1800 ml produk enteral yang dibancuh mengikut sukatan boleh memenuhi keperluan tenaga kebanyakan pesakit.

Pesakit atau ahli keluarga disarankan untuk mendapatkan nasihat pemakanan daripada Pegawai Dietetik di hospital atau klinik berhampiran sebelum menggunakan sebarang formula enteral atau rumusan lain. Pegawai Dietetik akan membantu untuk merancang diet yang paling sesuai dari segi jumlah dan cara penyediaan.

Ahli keluarga yang ingin menyediakan bubur kisar (blenderised diet) di rumah untuk diberi melalui tiub pemakanan perlu mendapat panduan daripada Pegawai Dietetik.

Perlu diingat bahawa komposisi nutrisi bubur kisar adalah rendah dan tidak tepat. Kepekatan juga berbeza dan tidak dapat dipastikan dengan tepat. Ia terdedah kepada risiko kontaminasi yang tinggi. Selain itu, ia juga mudah menyumbatkan tiub pemakanan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Ikuti kami:
    Hubungi
    ©2023 rawatanrumah.com - All rights reserved