Perkara Yang Boleh Anda Lakukan Sepanjang Menjaga Pesakit Terlantar

BERDEPAN tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit akibat penyakit kronik seperti kanser atau terkena strok harus diakui bukan tugas mudah.
Ini kerana emosi pesakit biasanya tidak menentu sehingga ada yang cepat melenting, cemas dengan situasi tertentu serta berlaku kemurungan yang memberikan cabaran kepada keluarga untuk menguruskan mereka.
Hal ini sudah tentu memberi kesan juga kepada ahli keluarga menjaga pesakit, yang mana boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan serba salah dan tertekan apabila perlu berhadapan dengan kerengsaan emosi pesakit.
Keadaan biasanya bertukar tegang kerana individu yang menjaga pesakit sedemikian tidak memahami perasaan mereka yang melalui detik sukar dalam hidup.
Ada juga penjaga yang bertindak kasar apabila pesakit menunjukkan emosinya seperti marah, merajuk, banyak merungut dan tidak selesa apabila diminta makan ubat atau perkara lain.
Berikut beberapa tips yang anda boleh terapkan sepanjang menjaga pesakit terlantar :
1️⃣ Jangan melihat menjaga pesakit sebagai bebanan sebaliknya anggap ia tanggungjawab yang bakal membolehkan anda memperoleh ganjaran dari Tuhan.
2️⃣ Sertai kumpulan sokongan kerana dengan cara itu dapat meringkan beban apabila dapat berkongsi masalah dan pengalaman menjaga pesakit kronik.
3️⃣ Tidak salah untuk mencari masa untuk diri sendiri – Lakukan perkara yang anda suka seperti biasa seperti bersenam kerana ia mampu mengurangkan tekanan menjaga pesakit.
4️⃣ Ambil peluang tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan dengan pesakit yang mungkin (ibu bapa atau pasangan) serta mencipta memori baharu bersama.
5️⃣ Jangan malu untuk dapatkan bantuan seperti ahli psikologi sekiranya tekanan menjaga pesakit menjejaskan emosi dan kehidupan seharian serta mendekatkan diri kepada Allah.






