Cabaran Menjaga Pesakit Kanser Warga Emas

Tugas dan tanggungjawab dalam menjaga warga emas bukan merupakan suatu perkara yang boleh dianggap mudah.

Ia akan menjadi lebih sukar sekiranya warga emas tersebut mempunyai penyakit yang lebih kronik seperti kanser serta pelbagai rangkaian penyakit yang lain seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis.

Namun begitu, penjaga perlu memainkan peranan yang penting terutama dalam menghadapi situasi kecemasan sewaktu berhadapan dengan pesakit kronik di kalangan warga emas.

Terdapat pelbagai faktor yang dapat membantu dalam urusan penjagaan pesakit di kalangan warga emas terutama yang mengalami penyakit kanser. Antaranya adalah :

1️⃣ Pengurusan emosi
Emosi pesakit kurang stabil disebabkan faktor kesihatan yang merosot atau tidak menentu. Penjaga perlu memiliki tahap kesabaran yang tinggi dalam mengendalikan situasi seperti ini. Ini sangat penting agar pesakit dapat merasai dirinya dihargai dan disayangi oleh orang di sekeliling. Sokongan moral terutama dari ahli keluarga yang terdekat dan sahabat handai juga sangat diperlukan bagi memberi semangat dan mewujudkan suasana harmoni dan ceria terhadap pesakit.

2️⃣ Keupayaan fizikal
Kadangkala akan wujud keadaan di mana pesakit tidak mampu untuk menguruskan keadaan dirinya sendiri. Justeru itu, penjaga perlu memberikan bantuan dan perhatian sepenuhnya kepada pesakit untuk bergerak serta menjalani kehidupan seharian.

3️⃣ Informasi atau maklumat terhadap penyakit
Penjaga digalakkan mencari maklumat tentang penyakit yang dihadapi. Ilmu pengetahuan boleh didapati melalui pembacaan buku, artikel, jurnal kesihatan dan sebagainya.

4️⃣ Keadaan diri dan kesihatan penjaga
Walaupun tugas penjaga tersebut amat berat dan kadangkala terbeban disebabkan mempunyai tugasan pekerjaan sendiri dan pada masa yang sama perlu menjaga keadaan pesakit, penjaga dinasihatkan supaya mencari waktu yang sesuai untuk merehatkan keadaan diri di samping perlu menjaga kesihatan diri.

5️⃣ Kaedah komunikasi yang berkesan
Rata – rata golongan berusia tidak selesa untuk bercerita keadaan penyakit yang dihadapinya walaupun mereka hanya mengalami sakit pening kepala. Sekiranya simptom berlarutan, maka menjadi tanggungjawab penjaga untuk membawa pesakit ke klinik atau hospital dengan penggunaan komunikasi yang lebih berkesan dan efektif. Teknik komunikasi yang betul mampu menyelamatkan keadaan agar tidak menjadi lebih buruk kerana ia juga menyebabkan nyawa pesakit.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Ikuti kami:
    Hubungi
    ©2023 rawatanrumah.com - All rights reserved