Masalah Ubat Bagi Warga Emas

Warga emas adalah unik. Mereka berada di tahap kehilangan atau kekurangan tenaga dan keupayaan, berhadapan dengan kemunculan penyakit yang berbeza, mempunyai masalah pengurangan pelbagai fungsi organ, menghidap berbagai jenis penyakit, dan bermungkinan mempunyai penyakit yang tidak dilaporkan seperti kemurungan, hilang kawalan kencing atau nyanyuk.

Adalah penting untuk membezakan samada masalah kesihatan yang berlaku di kalangan warga emas benar-benar disebabkan oleh proses penuaan atau penyakit. Ini adalah untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul akibat dari rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan (iatrogenic).

Warga emas juga berhadapan dengan masalah polifarmasi (bilangan dan jenis ubat yang banyak) akibat pelbagai penyakit yang mereka hidapi. Ini menyebabkan mereka sangat terdedah kepada bahaya-bahaya kesan sampingan ubat.

Bagi para perawat, memberi ubat-ubatan kepada warga emas merupakan satu cabaran. Banyak pertimbangan perlu dibuat untuk memadankan ubat-ubatan dengan perubahan farmakokinetik (penyerapan, pengedaran, metabolisme, perkumuhan) dan farmakodinamik (kesan fisiologi) ubat-ubatan yang sangat berkait rapat dengan umur.

Adalah sangat penting untuk mengoptimakan penggunaan ubat-ubatan di kalangan warga emas. Proses mempreskripsi ubat adalah rumit dan seharusnya mengambilkira:

1️⃣ Penggunaan ubat-ubatan tersebut adalah benar-benar diperlukan.
2️⃣ Memilih ubat yang terbaik.
3️⃣ Menentukan dos dan jadual penggunaan ubat yang sewajarnya mengikut keadaan fisiologi pesakit di samping itu keberkesanan dan kesan buruk ubat dipantau dengan teliti.
4️⃣ Pendidikan kepada pesakit mengenai kesan sampingan ubat yang dijangka berlaku dan arahan untuk mendapatkan rawatan bila diperlukan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Ikuti kami:
    Hubungi
    ©2025 rawatanrumah.com - All rights reserved