Pesakit telah didiscaj dengan tiub pemakanan yang dipanggil tiub nasogastrik (tiub NG). Tiub ini dimasukkan melalui hidung pesakit ke bahagian perut untuk memudahkan pemberian makanan, air dan ubat-ubatan. Ini biasanya dilakukan sekiranya pesakit mempunyai masalah menelan.
4 Peralatan yang diperlukan adalah :
▪️ Picagari ▪️ Cairan Makanan/Susu atau ubatan yang diperlukan ▪️ Cawan Sukatan ▪️ Air Suam
Cara Pemberian Makanan Adalah :
Cuci tangan sebelum pemberian.
Dudukkan pesakit dalam kedudukan tegak 90 darjah dan kekalkan selama 1 jam selepas pemberian makanan/susu.
Jangan sekali-kali memberikan makanan kepada pesakit dalam keadaan baring kerana ia mungkin menyebabkan makanan termasuk ke bahagian peparu pesakit dan menimbulkan penyakit.
Sambungkan picagari 10 cc ke tiub nasogastrik dan sedut keluar kandungan perut pesakit bagi memastikan tiub nasogastrik berada di dalam perut. (Jangan beri makanan sekiranya melebihi 100 cc kandungan perut disedut).
Keluarkan picagari 10 cc tadi, dan sambungkan dengan picagari 50 cc tanpa piston (plunger). Lipat kan tiub nasogastrik bagi mengelakkan udara masuk ke perut.
Pegang picagari setinggi paras dahi pesakit (sekiranya terlalu tinggi akan menambahkan tekanan masuk ke perut pesakit).
Tuangkan makanan cecair/minuman atau ubat-ubatan yang hendak diberikan, Lepaskan lipatan dan benarkan aliran makanan ke dalam perut.
Pastikan picagari tidak kosong untuk meng elakkan udara masuk yang boleh menyebabkan kekembungan.
Bilas tiub nasogastrik bagi mengelakkan tersumbat dengan memasukkan air suam pada akhir feeding 25cc- 50cc.
Tutupkan semula tiub nasogastrik setelah selesai memberi makan dan cuci sehingga kering alat-alat yang digunakan.
Setiap kali selepas memberi makan, cuci picagari dan keringkan sepenuhnya.
Sekiranya pesakit terbatuk atau sesak nafas berterusan, dapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.
Pastikan pesakit sentiasa dalam keadaan yang selesa dan berada dalam kedudukan tegak semasa pemberian makanan melalui nasogastrik dilakukan. Tidak dibenarkan memberi makanan pepejal atau panas ketika memberi makanan melalui tiub nasogastrik.