Tiub/Kateter kencing merupakan tiub yang dimasukkan ke dalam pundi kencing untuk mengeluarkan air kencing dari pundi. Ini mungkin dilakukan kerana beberapa sebab seperti pesakit mempunyai kudis tekanan, masalah kesukaran kencing atau pengawalan kencing. Tiub ini mungkin diletakkan secara sementara atau jangka masa panjang.
Tip Am Penjagaan
✅ Sentiasa catitkan jumlah air kencing dalam beg
✅ Sentiasa pastikan air kencing mengalir ke dalam beg tanpa sekatan
✅ Pesakit perlu minum cukup air untuk penghasilan air kencing yang cukup
✅ Beg kencing perlu berada di bawah paras pundi kencing untuk memastikan air kencing dalam beg tidak mengalir balik ke pundi dan menyebabkan jangkitan kuman
✅ Pastikan tiub dan beg berada dalam keadaan baik
✅ Jangan sekali-kali menarik tiub kencing
✅ Pesakit tidak sepatutnya duduk atau baring atas tiub kerana ia boleh menyebabkan sekatan
✅ Periksa bahagian sulit sekeliling tiub untuk tanda-tanda jangkitan kulit – kemerahan, kebengkakan atau discaj cecair
✅ Jangan letak bedak di bahagian tiub dari kemaluan
✅ Beg kencing perlu dikosongkan setiap 8 jam
Pembersihan Tiub
▪️ Sebelum mula, beritahu pesakit apa yang anda akan lakukan. Ini penting khasnya kepada pesakit yang nyanyuk atau keliru untuk menenangkan mereka.
▪️ Cuci sekeliling tempat tiub masuk ke kemaluan dengan sabun 2 kali sehari.
▪️ Bersihkan kulit sekitar tiub setiap kali pesakit membuang air besar.