Sebagai Penjaga Kepada Individu Penghidap Demensia, Apa Yang Boleh Anda Lakukan ?

Bukan mudah nak menerima hakikat ibu atau bapa kita menghidap demensia tetapi, penjaga dan keluarga pesakit demensia perlu secara perlahan-lahan memberikan ruang untuk proses penerimaan ini berlaku.

Siapa yang tidak sedih kan? namun jangan terlalu lama sehingga membawa kepada tekanan perasaan. Sentiasa ingat bahawa ada pelbagai cara dan pihak yang mungkin boleh meringankan beban anda.

Pertama,gunakan sumber yang tersedia untuk membantu anda menguruskan tekanan dan bebanan penjagaan pesakit demensia. Terdapat banyak sumber maklumat dan komuniti atas talian yang boleh membantu dan memberi sokongan kepada anda.

Kedua, pelajari tentang tabiat demensia akan menolong anda untuk menghadapi cabaran penjagaan yang mendatang. Walaupun demensia tidak boleh diubati secara keseluruhan, apa yang anda boleh lakukan adalah memperlahankan keterukan gejalanya.

Sekiranya gejala tingkah laku dan psikologi pesakit demensia semakin teruk, dapatkan bantuan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, sukarelawan NGO. Jadualkan waktu rehat yang mencukupi untuk diri anda sendiri. Ini bukanlah bermakna anda culas dan tidak bertanggungjawab, tetapi hanya untuk memastikan anda kekal bersemangat untuk terus menjaga individu dengan demensia tersebut.

Selain itu, cuba kekalkan tabiat harian yang sama dan konsisten. Hal ini penting untuk memastikan individu dengan demensia tersebut dapat mengorientasikan dirinya dengan masa dengan lebih baik.

Meluangkan masa di luar rumah memberikan kelegaan bagi sesetengah individu dengan demensia. Keadaan di dalam rumah yang tertutup dan tidak terdedah dengan aktiviti sosial di luar akan membuatkan diri mereka terasa terasing dan ini akan menjejaskan imuniti dan kesihatan mereka.

Ketika berinteraksi dengan mereka, gunakan suara yang perlahan namun jelas. Jangan membentak mereka dengan nada amarah. Berikan arahan yang mudah untuk mereka ikuti, satu per satu. Berikan masa kepada mereka untuk memahami apa yang anda cuba ungkapkan. Sekiranya gagal, cari cara lain seperti menggunakan bahasa isyarat atau lukisan untuk membuatkan mereka faham.

Sentiasa menghormati mereka kerana mereka  juga sedang diuji dengan keadaan yang mereka tidak minta. Jangan memerli, menyakat atau mempersenda mereka kerana itu akan menyebabkan perasaan mereka keliru dan terluka.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Ikuti kami:
    Hubungi
    ©2023 rawatanrumah.com - All rights reserved