Masalah Kulit Bagi Warga Emas

Seperti yang diketahui, kulit warga emas adalah lebih nipis, kurang anjal dan kurang berminyak. Hal ini menjadikan luka, calar atau benjolan yang berlaku terhadap kulit mereka akan mengambil masa yang lama untuk sembuh, dan juga menjadikan urat dan tulang mereka mudah kelihatan.

Berikut adalah beberapa jenis keadaan kulit yang biasa dalam kalangan warga emas, yang perlu anda ketahui :

▪️Kulit kering dan gatal
Kulit kering adalah disebabkan oleh berlakunya kehilangan kelenjar minyak yang membantu mengekalkan kelembapan kulit. Masalah ini biasanya berlaku di bahagian bawah kaki, siku dan bawah lengan.

▪️Ekzema
Ekzema menjadikan kulit gatal dan meradang, sering berlaku disebabkan oleh penuaan fisiologi. Kulit yang kering lebih terdedah kepada ekzema. Terdapat beberapa jenis ekzema dalam kalangan warga emas, iaitu ekzema atopik, seborrhoeic, diskoid, vorikos, fotosensitif dan asteatotik.

▪️Kedutan
Masalah yang biasa dan ramai antara kita sedar, kedutan merupakan proses semula jadi dalam penuaan. Masalah ini sering terjadi pada kulit yang terdedah kepada matahari seperti muka, leher, tangan dan bawah lengan.

▪️Lebam
Kulit warga emas lebih mudah untuk lebam berbanding golongan muda kerana kulit dan saluran darah menjadi kurang berdaya tahan apabila usia semakin meningkat. Ini adalah satu kecederaan kulit yang mengakibatkan perubahan warna pada kulit. Lebam berlaku apabila darah daripada sel darah yang rosak di bawah kulit terkumpul berhampiran permukaan kulit.

▪️Tompok penuaan dan tag kulit
Tompok penuaan adalah rata, bertompok berwarna coklat (lebih besar daripada jeragat) dan kebiasaannya berlaku akibat kulit sering terdedah dengan cahaya matahari untuk tempoh yang lama; tag kulit pula adalah pertumbuhan kulit yang kecil, biasanya mempunyai warna yang sama dengan kulit dan mempunyai permukaan yang tidak rata.

▪️Kudis tekanan
Kudis tekanan juga dikenali sebagai ulser tekanan. Masalah ini berlaku akibat daripada tekanan apabila seseorang itu duduk di atas kerusi atau berbaring di atas katil untuk tempoh yang lama.

▪️Kanser kulit
Kanser kulit adalah pertumbuhan sel-sel kulit secara abnormal yang berlaku disebabkan oleh kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Walau bagaimanapun, ia juga mungkin boleh berlaku pada kawasan kulit yang tidak terdedah kepada cahaya matahari.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Ikuti kami:
    Hubungi
    ©2023 rawatanrumah.com - All rights reserved