Pemberian Ubat Melalui Tiub Nasogastrik

Semasa memberi ubat kepada pesakit melalui tiub nasogastrik, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan bagi memastikan keberkesanan ubat terjamin, mengelakkan kesan mudarat ubat dan mencegah interaksi antara ubat dengan cecair nutrisi.
1️⃣ Ubat cecair
👉 Penjaga perlu memastikan pesakit sentiasa dalam kedudukan tegak semasa pemberian ubat melalui tiub nasogastrik dilakukan.
👉 Ubat-ubatan dalam bentuk cecair adalah lebih sesuai untuk diberikan melalui tiub nasogastrik.
Oleh itu, perbincangan dengan doktor yang merawat dan ahli farmasi yang bertugas boleh mengelakkan berlakunya kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit dan pada masa yang sama memastikan keberkesanan ubat tidak terganggu.
2️⃣ Ubat Pepejal
👉 Kebiasaannya ubat-ubatan ini perlu dihancurkan dan dilarutkan sebelum diberikan kepada pesakit.
Walau bagaimanapun, pesakit atau penjaga perlu mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi sebelum berbuat demikian kerana terdapat ubat-ubatan yang tidak boleh dihancurkan. Tindakan menghancurkan ubat-ubatan ini mungkin boleh menyebabkan keberkesanan ubat tersebut terjejas atau meningkatkan risiko kesan sampingan ubat.
Sekiranya terdapat arahan daripada doktor atau ahli farmasi untuk menghancurkan ubat-ubatan biji seperti tablet atau kapsul, penjaga dinasihatkan untuk mengikut arahan khas yang diberikan. Ini adalah penting bagi memastikan kesan terapeutik yang diingini tercapai, seterusnya mengelakkan kesan mudarat ubat.
Untuk pesakit yang terpaksa mengambil lebih daripada satu jenis ubat, pemberian ubat melalui tiub nasogastrik perlu dilakukan secara berasingan dan setiap kali pemberian ubat perlu diselangkan dengan pemberian air.






